Shiva Kewat dari negeri Madhya Pradesh mendakwa dia cuba menyelamatkan seekor anak burung gagak yang tersangkut pada jaring besi malangnya haiwan kecil itu mati di tangannya tidak lama kemudian.

“Kalaulah saya boleh jelaskannya kepada burung gagak itu. Saya cuma mahu membantu, malangnya haiwan itu percaya saya yang membunuh anak burung tersebut,” katanya.

Akhbar the Times of India melaporkan Kewat kini terpaksa membawa kayu setiap kali mahu keluar dari rumah bagi mengelak daripada dipatuk burung gagak.

Satu rakaman video menunjukkan bagaimana Kewat cuba menghalau burung gagak berkenaan ketika dia berdiri di tepi sebatang jalan raya dekat sini. Burung-burung gagak itu boleh dilihat terbang mengelilingi kepalanya selama beberapa saat.

Lelaki malang itu sudah mengalami banyak kecederaan di kepalanya selepas serangan tersebut sejak tiga tahun lalu. Penduduk kampung bagaimanapun terhibur melihat gelagat burung-burung tersebut dan kerap menjadi penonton rutin harian Kewat menghalaunya.

Pada tahun 2011, sekumpulan saintis di Seattle, Amerika Syarikat mendapati, burung gagak boleh menyimpan dendam dan mengingati muka manusia. Satu kajian susulan mengesahkan otak burung gagak bertindak balas seperti otak manusia ketika mengingati muka dikenalinya. – Agensi