Medi Bastoni berkata, dia berbuat demikian kerana mahu meningkatkan kesedaran orang ramai supaya memulihara hutan.

Medi juga berharap dia akan diberi peluang untuk bertemu Presiden Joko Widodo (Jokowi) selepas menamatkan perjalanannya. Lelaki itu mahu meminta benih pokok sebagai simbolik daripada Jokowi dan menanamnya di lereng Gunung Wilis, sebuah gunung berapi di Jawa Timur.

Pokok tersebut akan dinamakan sempena nama Presiden Indonesia itu.

“Bukan saya seorang, malah, seluruh penduduk di lereng Gunung Wilis dan generasi muda lain perlu mengambil berat mengenai alam sekitar di Gunung Wilis,” kata Medi kepada portal berita tempatan, Surya.co.id.

Lelaki berusia 43 tahun itu bertolak dari Kampung Dono, Jawa Timur pada minggu lalu dan merancang tiba di Istana Negara di Jakarta pada Hari Kemerdekaan Indonesia, 17 Ogos ini.

Medi yang juga bapa kepada empat cahaya mata, berjalan di atas jalan dengan memakai seluar trek, ves di samping cermin sisi supaya dia dapat mengundur tanpa sebarang halangan.

Dia merancang untuk berjalan sejauh 30 kilometer sehari, membeli makanan di gerai tepi jalan dan tidur di masjid, balai polis serta pos keselamatan sepanjang perjalanannya merentas Pulau Jawa. – Agensi