Membawa angin berkelajuan maksimum 220 kilometer sejam, Taufan Florence dijangka menjadi lebih kuat sebelum tiba di daratan esok, berkemungkinan besar di tenggara negeri Carolina Utara dekat sempadan Carolina Selatan, kata Pusat Taufan Kebangsaan di Miami (NHC).

Pihak berkuasa memberi amaran tentang peningkatan paras air laut dan risiko Florence membawa hujan lebat dan banjir ke beberapa buah negeri terutamanya jika ribut itu berada di daratan selama beberapa hari.

“Florence dijangka menjadi taufan berbahaya sepanjang Khamis ini,” kata NHS dalam buletin terbaharunya. Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper memberitahu sidang akhbar bahawa negerinya berada dalam mata taufan itu.

Menyedari tentang kemusnahan yang dibawa beberapa taufan berbahaya pada tahun lalu, penduduk di dua negeri Carolina itu mula melakukan persiapan menghadapi bencana seperti memasang penghadang tingkap dan menyediakan bekalan makanan, air serta bahan api yang mencukupi.

Berada dalam Kategori 4 daripada lima peringkat taufan dalam skala taufan Saffir-Simpson, Florence merupakan ribut paling kuat yang mengancam tanah besar Amerika Syarikat (AS) tahun ini dan ribut terkuat pertama yang diramal membadai Carolina Utara dan Selatan sejak tahun 1989.

Sebagai persiapan menghadapi Florence, Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster mengarahkan kira-kira sejuta penduduk tepi pantai di negerinya berpindah ke kawasan selamat.

“Trafik sesak sepanjang 14 kilometer di sesetengah tempat,” kata seorang pesara Paul Jones.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump yang pernah dikritik kerana lambat bertindak membantu mangsa Taufan Maria di Puerto Rico tahun lalu, memutuskan untuk membatalkan perhimpunan politik yang dirancang pada Jumaat ini di Jackson, Mississippi atas faktor keselamatan berikutan Taufan Florence, kata kempennya. – Reuters