Gempa bumi cetek bermagnitud 6.9 itu melanda pada 5 Ogos lalu dan mengakibatkan puluhan ribu kediaman, masjid serta premis perniagaan di seluruh Lombok musnah, seminggu selepas satu lagi gempa kuat menggegarkan pulau itu serta meragut 17 nyawa.

“Pasukan mencari dan menyelamat masih lagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah bangunan dan tanah runtuh,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho.

Beliau berkata, jumlah korban gempa bumi itu meningkat kepada 436 orang. Menurutnya, seramai 1,300 orang lagi ce­dera dan hampir 353,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Kawasan utara di pulau itu adalah yang paling teruk terjejas di mana 374 mangsa terbunuh dan lebih 137,000 orang terpaksa berpindah, demikian menurut statistik rasmi terkini mangsa gempa bumi.

Kebanyakan mangsa yang hilang tempat tinggal terpaksa tidur di dalam khemah, dibina dekat kediaman mereka atau berlindung di pusat-pusat penempatan sementara, manakala hospital lapangan turut didirikan untuk merawat mangsa yang cedera.

Sutopo berkata lagi, tiga buah helikopter termasuk sebuah helikopter milik tentera digunakan untuk menggugurkan bekalan kepada komuniti yang terkandas dengan ramai daripada mereka amat memerlukan air bersih, makanan, tempat tidur dan ubat.

Sementara itu, kerugian ekonomi akibat bencana tersebut termasuk impak terhadap bangunan, infrastruktur dan produktiviti meningkat kepada 5 trilion rupiah (RM1.3 bilion)

“Kerosakan dan kerugian ini adalah amat besar,” ujar Sutopo sambil menambah, angka muktamad dijangka lebih tinggi. – AFP