Siri gegaran itu berlaku kelmarin dengan gempa pertama bermagnitud 6.3 mencetuskan tanah runtuh dan memaksa orang ramai lari menyelamatkan diri, manakala beberapa kawasan di Lombok terputus bekalan elektrik.

Hampir 12 jam kemudian, gempa bumi lebih kuat berukuran 6.9 magnitud berlaku diikuti sejumlah gegaran susulan yang juga kuat.

Lombok yang terkenal kerana kecantikan pemandangannya dan terletak di sebelah pulau pelancongan Bali, belum pulih daripada dua gempa dahsyat pada 29 Julai serta 5 Ogos lalu, mengakibatkan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Seramai 10 orang terbunuh dalam gempa bumi petang kelmarin, kebanyakannya ditimpa serpihan runtuhan dengan empat kematian dilaporkan di Lombok Timur dan enam lagi di pulau berdekatan, Sumbawa, demikian menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Kira-kira 24 orang cedera dan lebih 150 buah rumah dan tempat ibadat turut rosak, kata BNPB.

“Ketika gempa bumi itu berlaku, kebanyakan orang berada di luar rumah atau di pusat perlindungan. Jadi, tidak banyak kematian berbanding bencana pada 5 Ogos lalu.

“Penduduk masih trauma akibat gempa bumi pagi kelmarin dan memilih untuk berada di luar rumah,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho. – AFP