JAKARTA – Seku­rang-kurangnya empat orang mening­gal dunia manakala beberapa lagi cedera selepas satu gempa bumi kuat bawah laut melanda Pulau Jawa, Indonesia dan menyebabkan satu amaran tsunami dikeluarkan, kata pihak berkuasa semalam.

Gempa bumi sekuat 6.9 pada skala Richter kelmarin menyebabkan penduduk melarikan diri ke kawasan tanah tinggi manakala warga kota di Jakarta bertempiaran di jalan-jalan raya.

Seramai tiga orang meninggal dunia akibat serangan jantung semasa kejadian gegaran kuat itu, menurut jurucakap agensi bencana, Agus Wibowo semalam.

Beliau menyatakan se­orang lagi dilaporkan maut selepas terjatuh semasa mangsa cuba melarikan diri keluar daripada kediamannya ketika bencana berlaku.

Seramai empat individu lain disahkan cedera. Lebih 1,000 lagi penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, kata Argus.

Lebih 200 bangunan rosak termasuk 13 rumah musnah sepenuhnya, katanya. Sebahagian besar kemusnahan teruk berlaku di Pandeglang dan Lebak di wilayah Banten.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa bumi itu berlaku di tengah laut pada kedalaman 42 kilometer, kira-kira 150 kilometer dari Labuan, barat daya ibu kota Indonesia, Jakarta.

Terdahulu, sebuah agensi pengurusan bencana Indonesia memberi amaran bahawa tsunami setinggi 3 meter mungkin berlaku selepas kejadian gegaran.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengeluarkan amaran itu untuk penduduk di kawasan Pandeglang, Lampung dan Sukabumi sebelum menarik balik peringatan itu selepas beberapa jam. 
– AFP/Bernama