Norway telah me­minta Israel memberikan penjelasan berhubung penangkapan tersebut dan ‘dakwaan penggunaan kekerasan melampau’ oleh askarnya, kata seorang jurucakap kerajaan kepada agensi berita AFP semalam.

“Kami ditangkap di perairan antarabangsa ketika kami berada lebih hampir dengan Mesir berbanding Israel,” kata kapten kapal itu, Herman Reksten awal semalam apabila beliau pulang ke Norway selepas ditahan selama tiga hari di sebuah penjara Israel.

“Israel melanggar semua undang-undang. Adalah dahsyat kerana mereka menahan dan memasuki kapal Norway di perairan antarabangsa dan memaksa­nya berlabuh di Israel,” katanya kepada badan penyia­ran awam Norway, NRK.

Tentera Israel mengumumkan tindakan merampas kapal yang membawa sejumlah aktivis kemanusiaan itu di luar pantai Genting Gaza Ahad lalu. Kumpulan berkenaan mengutuk dan cuba memecahkan kepu­ngan darat dan laut yang dikuatkuasakan Rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu selama lebih satu dekad.

Kapal mengibarkan bendera Norway itu, Karstein atau Al-Awda membawa seramai 22 kru dan aktivis.

Beberapa aktivis telah dibebaskan tetapi tujuh orang termasuk dua rakyat Norway, dua warga Sweden dan masing-ma­sing seorang aktivis Perancis, Sepanyol serta Kanada masih ditahan setakat semalam, demikian menurut pertubuhan hak asasi Just Future for Palestine.

Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Oslo, Reksten turut menuduh askar-askar Israel menggunakan pistol renjatan terhadap aktivis-aktivis tersebut.

“Kepala saya juga masih sakit akibat dibelasah di dalam penjara Israel,” tambahnya. – AFP