Dinamakan ‘Lumi’, produk itu merangkumi dua peket lampin, dua sensor pakai buang dan sebuah monitor video yang boleh dihubungkan pada sistem Wi-Fi.

Sensor itu boleh mengesan kelembapan pada lampin bayi dan jika najis atau air kencing dikesan, ia akan menghantar notifikasi secara automatik kepada aplikasi Lumi by Pampers yang dimuat turun dalam telefon pintar ibu bapa atau penjaga.

Aplikasi itu juga boleh mengesan tabiat tidur, kekerapan ibu bapa memberi makan kepada bayi mereka dan tahap kelembapan serta suhu bilik tidur bayi. Data itu juga akan disalurkan ke telefon pintar pemilik walau di mana dia berada.

Syarikat induk Pampers, Procter and Gamble menghasilkan produk itu bersama anak syarikat Google, Verily, lapor akhbar Financial Times.

Firma tersebut masih belum mendedahkan harga lampin digital itu tetapi ia akan mula dijual di Amerika Syarikat (AS) lewat tahun ini.

‘Lumi’ merupakan ciptaan terbaharu firma tersebut bagi memastikan hidup bayi dan ibu bapa menjadi lebih mudah.

Lampin itu direka supaya ibu bapa dapat memastikan bayi mereka selamat dan dijaga dengan baik. – Agensi