Datuk Bandar Ronda, Mariano Blanco merupakan pegawai kerajaan terbaharu yang dibunuh sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas dikatakan terlibat dengan penyeludupan dadah.

Bandar Ronda terletak di selatan Filipina.

Negara itu mengamalkan budaya politik ganas tetapi kumpulan-kumpulan pemerhati bimbang tindakan keras Presiden Rodrigo Duterte membanteras jenayah dadah akan menyebabkan penyerang bertindak lebih nekad.

Blanco, 59, ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali di pejabatnya pada waktu tengah malam, kata ketua polis tempatan.

“Beberapa saksi kejadian berkata, empat individu bersenjata dilihat turun dari sebuah van putih dan masuk ke dalam pejabat majlis perbandaran. Ketika itu, Blanco sedang tidur di pejabatnya, kata inspektor kanan, Jayr Palcon kepada agensi berita AFP.

Beliau bagaimanapun tidak pasti kenapa datuk bandar itu membuat keputusan untuk tidur di pejabatnya.

Blanco disahkan meninggal dunia di hospital, manakala motif pembunuhan masih disiasat.

Kejadian itu menyusul selepas Datuk Bandar Tanauan, Antonio Halili ditembak mati pada majlis menaikkan ben­dera di Tanauan, selatan Manila, Julai lalu.

Blanco dan Halili merupakan antara sekurang-kurangnya enam datuk bandar dan timbalan datuk bandar yang dibunuh di Filipina sejak Mei lepas. 
– AFP