Pengumuman itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump ­menyifatkan tindakan bedilan oleh Teheran sebagai ‘satu kesilapan besar’.

Insiden tembakan dron itu sekali gus me­ningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara selepas satu siri serangan ke atas kapal-kapal tangki di perairan Teluk. AS menuduh Iran dalang di sebalik kes-kes serangan itu.

Washington pada masa sama mendakwa dron miliknya berada di ruang udara perairan antarabangsa, namun Teheran menyangkal perkara itu dengan mengatakan pesawat tersebut menceroboh kawasannya.

Kedua-dua insiden serangan itu, kapal tangki dan dron milik AS, berlaku di Selat Hormuz mendorong Trump untuk memberikan satu nada amaran keras.

“Iran membuat kesilapan besar!” kata beliau di Twitter sebagai maklum balas terhadap be­rita dron peninjau Global Hawk buatan AS yang ditembak jatuh oleh Iran.

“Negara ini tidak akan berdiam diri, itu saya boleh beritahu anda,” katanya di White House.

Bagaimanapun, Trump kemudiannya mengubah tona nadanya untuk mengurangkan ketegangan berhubung insiden itu selepas ia menyebabkan harga minyak mentah dunia meningkat mendadak susulan satu potensi konflik terbuka antara AS dan Iran.

“Saya merasakan sukar untuk mempercayai bahawa ia sengaja dilakukan, jika awak mahu tahu kebenaran. Saya berpendapat ia mungkin dilakukan oleh seseorang yang hilang akal dan bodoh,” kata Trump.

Mesej bercelaru Trump menyebabkan masyarakat antarabangsa tertanya-tanya apa langkah Washington seterusnya.

“Anda akan tahu nanti,” katanya apabila ditanya mengenai kemungkinan ada tindak balas.

Akhbar New York Times me­laporkan bahawa Presiden AS itu sudah meluluskan satu serangan sasaran ke atas radar dan bateri misil Iran, namun kemudiannya membatalkan rancangan itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif kelmarin me­ngumumkan bahawa sebaha­gian daripada dron yang ditembak jatuh itu sudah dibawa ke perairan Iran, dengan Tehran bercadang membawa isu berkenaan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami tidak mahu pepera­ngan tetapi akan bermati-matian mempertahankan ruang udara, tanah dan perairan kami,” katanya.

Pentadbiran Penerbangan Awam Persekutuan AS mengeluarkan amaran bahaya kepada syarikat-syarikat penerba­ngan susulan ‘kejadian dron AS ditembak jatuh oleh misil darat ke udara Iran’ dan melarang pesawat awam AS ke kawasan berkenaan ‘sehingga notis baharu dikeluarkan’. – AFP