Menurut laporan akhbar Daily Mail, ikan paus sirip tersebut pada awalnya disangka memiliki berat antara 25 hingga 35 tan, namun ukuran akhir menunjukkan berat haiwan marin itu sebenarnya adalah 75 tan.

Usaha memindahkan mamalia itu bermula pada 16 Ogos lalu di Asturias, Sepanyol, namun kekeliruan mengenai berat haiwan tersebut yang memerlukan treler lebih besar menyebabkan kelewatan selama 24 jam.

Ikan paus itu diletakkan di atas badan treler kosong dan dibawa keluar dari Pantai El Figo, Asturias. Ia merupakan haiwan kedua terbesar di dunia selepas ikan paus biru.

Purata ikan paus sirip betina di Hemisfera Utara membesar sehingga 20 meter(m) panjang manakala panjang ikan paus jantan pula mencecah 18.5m.

Secara purata, ikan paus sirip betina mempunyai berat 50.5 tan manakala ikan paus jantan pula ialah 38.5 tan.

Dalam pada itu, bangkai seekor ikan paus lain dikesan di pantai Sepanyol.

Bangkai ikan paus sperma itu yang mereput disangka sampah plastik oleh pengunjung pantai.

Pegawai-pegawai menutup Pantai Varador di bandar Mataro, wilayah Barcelona selepas bangkai mamalia itu hanyut ke tepi pantai pada Ahad minggu lalu. – Agensi