Kenyataan itu dibuat seminggu sebelum Jong-un bertemu dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in sempena sidang kemuncak Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua semenanjung Korea.

Sebaliknya, Jong-un tidak memberi sebarang petunjuk kesediaan untuk melepaskan senjata nuklearnya yang didakwa mampu mencecah ke tanah besar AS.

Walaupun Korea Utara berjaya membangunkan senjatanya termasuk kepala peledak mini yang mampu dimuatkan pada peluru berpandu Jong-un berkata:

“Tiada lagi sebarang ujian nuklear mahu pun pelancaran peluru berpandu jarak sederhana dan ujian ICBM oleh Republik Demokratik Rakyat Korea Utara (DPRK).

“Berikutan itu, tapak ujian nuklear Korea Utara juga tidak diperlukan lagi,” katanya semasa berucap pada perhimpunan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja lapor agensi berita KCNA.

Pyonyang semasa membuat keputusan mengenai penutupan tapak ujian nuklear dan pelancaran ICBM itu turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mengendalikan sebarang program senjata sejak November tahun lalu.

Malah, tapak ujian Punggye-ri yang merupakan satu-satunya tapak uji nuklear diketahui akan ditutup sebagai satu jaminan bagi menamatkan ujian senjata.

Beberapa minit sebaik pengumuman itu dikeluarkan Trump memuat naik satu status di Twitter.

“Ini merupakan satu berita yang amat baik untuk Korea Utara dan dunia, satu kemajuan besar! Jumpa di sidang kemuncak kita nanti,” katanya.

Seoul turut mengalu-alukan pengumuman berkenaan dengan menyifatkannya sebagai proses bermakna dalam usaha perlucutan senjata nuklear di semenanjung Korea.

Pyonyang yang pesat membangunkan teknologi senjata nuklear sejak di bawah pemerintahan Jong-un turut menyebabkan negara berkenaan dikenakan sekatan ketat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, AS, Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan negara lain.

Pada September tahun lalu, Korea Utara melancarkan ujian nuklear yang keenam dan paling kuat sekali gus menyebabkan Jong-un dan Trump saling mengeluarkan kecaman dan turut menghina personaliti sesama sendiri. – AFP