Janji daripada Kim Jong-un itu susulan proses diplomasi selama beberapa bulan yang menyaksikan pemimpin ke­dua-dua negara Korea tersebut bersetuju mengembleng usaha ke arah pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea.

Beliau mengadakan pertemuan berseja­rah dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada Jumaat lalu sekali gus memeterai perjanjian bagi mencapai ke­amanan dan perpaduan.

“Semasa pertemuan itu, Jong-un ber­kata, beliau akan menutup tapak ujian nuklear itu pada Mei ini dan akan segera menjemput pakar-pakar Korea Selatan dan AS di samping pihak media untuk melaporkan proses tersebut kepada masyarakat antarabangsa secara telus,” kata jurucakap Presiden Korea Selatan, Yoong Young-chan.

“Jong-un memberitahu, AS membenci kami, namun sebaik sahaja kita berun­ding, mereka akan sedar bahawa saya bukannya seseorang yang akan membedil senjata nuklear ke Korea Selatan atau menyasarkan AS.

“Jika kami kerap bertemu (dengan AS), membina kepercayaan, tamatkan Perang Korea dan akhirnya menerima janji tidak akan ada penaklukan oleh AS, mengapa kami mahu menyimpan senjata nuklear?” tambahnya.

Kenyataan itu dilihat sebagai kata-kata manis Jong-un menjelang sidang kemun­cak beliau dengan Presiden AS, Donald Trump yang disebut oleh Trump akan ber­langsung dalam tempoh tiga atau empat minggu lagi.

Presiden AS itu berjanji akan melakukan ‘jasa besar kepada dunia’ dengan memeterai perjanjian pelucutan senjata nuklear bersama Pyongyang.

Terdahulu, Trump bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk mengisytiharkan ‘semuanya baik’ selepas saluran berita CBS News melaporkan bahawa Mongolia dan Singapura menjadi dua lokasi muktamad yang dipertimbangkan untuk sidang kemuncak tersebut. – AFP