Penduduk Gaza juga memperingati hari Nakba atau ‘bencana’ semalam, hari di mana lebih 700,000 rakyat Palestin melarikan diri atau diusir dalam perang pada tahun 1948 bagi menyokong penubuhan Israel.

Nakba jatuh sehari selepas AS memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke kota Baitulmuqaddis, langkah yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan dikecam dengan meluas.

Kebanyakan daripada 59 penduduk Gaza yang maut kelmarin ditembak oleh penembak curi Israel, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

“Angka korban ini termasuk seorang bayi yang meninggal dunia akibat terhidu gas pemedih mata di samping lapan kanak-kanak lain di bawah usia 16 tahun,” kata kementerian itu.

Sekurang-kurangnya 2,400 yang lain cedera kelmarin, hari paling berdarah dalam konflik Israel-Pales­tin sejak perang Gaza pada tahun 2014.

Bagaimanapun, pegawai kanan Hamas, Khalil Al-Hayya berikrar bahawa tunjuk perasaan di Gaza akan diteruskan.

“Sayap bersenjata Hamas dan kumpulan pejuangnya tidak akan berdiam diri tentang jenayah yang dilakukan Israel,” katanya.

Sementara itu di Tebing Barat, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengisytiharkan mogok umum semalam dan menuduh Rejim Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Kelmarin, berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin berkumpul dekat sempadan untuk mengadakan protes, manakala sejumlah kecil penunjuk perasaan Palestin menghampiri pagar sempadan Israel untuk menyeberanginya sebelum ditembak askar Rejim Zionis.

Angka korban besar itu mengundang kutukan oleh kumpulan hak-hak asasi manusia dan banyak negara.

Bagaimanapun AS menghalang kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa siasatan bebas terhadap keganasan Israel. – AFP