Usaha tersebut dilakukan semalam ketika angka korban me­ningkat kepada 39 orang, manakala punca kemalangan dahsyat itu disiasat pihak berkuasa.

Kemalangan berlaku kelmarin apabila sebahagian Jambatan Morandi itu runtuh semasa hujan lebat dan ribut petir, me­ngakibatkan 35 kereta dan beberapa buah lori terjatuh ke atas landasan kereta api pada ketinggian 45 meter.

Anggota-anggota penyelamat bermalam di kawasan di mana serpihan jambatan itu menimbun, manakala angka korban pula dijangka terus meningkat.

Ketika kejadian, jambatan di Genoa, rantau Liguria itu sedang menjalani kerja penyelenggaraan.

“Malang sekali, terdapat lebih 30 orang terbunuh dan ramai mangsa yang cedera parah,” kata Menteri Dalam Negeri, Matteo Salvini semalam. Beliau berikrar akan memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut akan mendapat hukuman setimpal.

Bagaimanapun, media Itali melaporkan bahawa angka korban meningkat kepada 39 orang termasuk tiga kanak-kanak, masing-masing berumur dari lapan hingga 12 tahun. Seramai 16 orang turut cedera dalam tragedi itu termasuk 12 mangsa yang parah.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Itali, Danilo Toninelli semalam menggesa barisan pe­ngurus kanan syarikat yang mengendalikan jambatan tersebut, Autostrade per l’Italia meletak jawatan.

Jambatan Morandi itu dibina dalam tahun 1960 di lebuh raya A10 yang menghubungkan bandar pelabuhan Genoa dan sempadan Perancis. – AFP