Kira-kira 26 penduduk pula masih hilang di pekan Atsuma, utara Jepun, di mana sejumlah kediaman musnah apabila lereng sebuah bukit runtuh dalam gempa bumi bermagnitud 6.6 pada skala Richter itu.

“Kami dimaklumkan bahawa masih ada mangsa terperangkap di dalam lumpur, justeru, kami bekerja 24 jam tetapi sukar untuk menyelamatkan mereka,” kata seorang askar Jepun di Atsuma kepada badan penyiaran awam, NHK.

Seorang penduduk Atsuma memberitahu: “Kejadian itu sungguh menakutkan. Lereng runtuh hingga ke bawah dan saya fikir saya akan mati.”

Dalam perkembangan sama, sekitar 1.6 juta isi rumah di Pulau Hokkaido, utara Jepun masih bergelap selepas gempa bumi itu merosakkan sebuah janakuasa yang menyalurkan elektrik ke rantau berkenaan.

Menurut syarikat pembekal tenaga tempatan, Hokkaido Electric, bekalan elektrik kepada 1.4 juta kediaman atau bersamaan 40 peratus penduduk Hokkaido telah dipulihkan tetapi pihak berkuasa memberi amaran bahawa masa sehingga seminggu diperlukan sebelum bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

Seramai 22,000 pekerja penyelamat termasuk anggota tentera dikerahkan untuk mengagihkan bekalan air de­ngan barisan panjang dilihat di stesen petrol dan pasar raya ekoran orang ramai membeli bekalan kerana bimbang gempa selanjutnya berlaku.

“Setakat ini, 16 orang maut dan ramai lagi cedera, sementara 26 mangsa masih hilang,” kata Perdana Menteri, Shinzo Abe semasa mesyuarat Kabinet bagi membincangkan gempa tersebut.

Gempa itu turut merobohkan sebilangan kediaman dan dinding di bandar Sapporo.

Bagaimanapun, mengambil kira kekuatan gempa bumi kali ini, angka korban tersebut dianggap kecil dengan keba­nyakan mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di Atsuma. – AFP