Gempa cetek itu melanda pada Ahad lalu, seminggu selepas satu lagi gegaran kuat meragut 17 nyawa di pulau pelancongan tersebut.

Kira-kira 1,477 orang cedera parah dalam bencana terbaharu itu dengan puluhan ribu kediaman rosak, manakala pihak berkuasa merayu supaya lebih ramai petugas perubatan dan bekalan asas disalurkan.

“Kami menganggarkan angka korban melebihi 131 orang,” kata jurucakap Badan Nasional Pe­ngurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho semalam.

Menurutnya, angka korban dikhuatiri terus meningkat ekoran pekerja-pekerja yang dibantu jentera berat masih menggeledah runtuhan kediaman, sekolah dan masjid dengan harapan untuk menemui mang­sa yang masih hidup.

Gabenor wilayah Nusa Tenggara Barat yang merangkumi Lombok, Muhammad Zainul Majdi berkata, pekerja perubatan, makanan dan ubat-ubatan kini amat diperlukan.

Sementara itu, beratus-ratus mangsa berdarah dan berbalut dirawat di luar hospital-hospital yang rosak di bandar utama Lombok, Mataram dan kawasan terjejas lain.

“Skala gempa bumi ini sangat besar untuk kami di Nusa Tenggara, ini pengalaman pertama kami,” katanya. – AFP