Hampir 950 orang awam terbunuh sejak tentera kerajaan yang disokong Rusia melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kubu kuat terakhir pemberontak berhampiran Damsyik sejak 18 Februari lalu.

Sebanyak 400,000 penduduk Ghouta Timur yang kehilangan tempat tinggal hidup di dalam kepungan kerajaan sejak 2013 dan lebih daripada separuh kawasan tersebut yang menjadi tempat tinggal kumpulan pemberontak bersenjata telah ditawan oleh tentera Syria sejak tiga minggu lalu.

Koordinator Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria, Ali al-Zaatari berkata, sebanyak 13 trak yang membawa 2,400 bungkusan makanan berjaya masuk ke Ghouta Timur.

“Bagaimanapun bom yang menghujani kawasan berdekatan bandar Douma menyebabkan pasukan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Palang Merah Syria dan konvoi PBB dalam kedudukan berisiko tinggi,” kata Ali.

Bantuan dihantar dalam keadaan helikopter tentera berlegar-legar di atas kepala ketika pesawat menyasarkan kawasan luar Douma, kata seorang wakil bantuan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia berkata, serangan bom merosakkan 67 pusat kemudahan perubatan di Syria pada Ja­nuari dan Februari lalu dengan kebanyakannya di Timur Syria yang disifatkan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sebagai ‘neraka dunia’. – AFP