Polis percaya komplot itu termasuk untuk meletupkan bahan letupan buatan sendiri di kediaman rasmi Perdana Menteri Britain, 10 Downing Street untuk mencetuskan huru-hara sebelum menyerang dan membunuh May, lapor Sky News.

Sky News menambah, siasatan mengenainya dilakukan selama beberapa minggu oleh sekurang-kurangnya agensi Scotland Yard, MI5 dan Polis Midlands Barat.

Susulan pendedahan komplot tersebut, dua pemuda iaitu Naaimur Zakariyah Rahman, 20, dari utara London dan Mohammed Aqib Imran, 21, dari tenggara Birmingham dihadapkan ke Mahkamah Majsitret Westminster atas dakwaan keganasan pagi semalam.

Kedua-dua lelaki itu ditangkap pada minggu lalu dalam operasi bersama oleh agensi perisikan dalam negeri, MI5 dan polis.

Terdahulu semalam, jurucakap May berkata, Britain telah menggagalkan sebanyak sembilan komplot keganasan sepanjang tempoh 12 bulan lalu, namun, berapa pelampau berjaya melancarkan serangan.

Pada Mac lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Khalid Masood, 52, memandu sebuah kereta di laluan pejalan kaki di Jambatan Wesminster dan menikam seorang anggota polis yang mengawal bangunan Parlimen. Lima orang maut dalam serangan itu.

Pada 22 Mei lalu, 22 orang terbunuh apabila pengebom bunuh diri, Salman Ramadan Abed menyasarkan pengunjung konsert di Arena Manchester.

Sebanyak 11 orang pula terkorban apabila sekumpulan pengganas menggunakan beberapa kenderaan dan pisau untuk menyerang orang ramai di Jambatan London pada Jun tahun ini.

Perdana Menteri Britain sudah lama menjadi sasaran pengganas, namun, Downing Street kini dikawal ketat oleh pasukan polis bersenjata dan dilindungi pagar kukuh.

Langkah keselamatan itu diperkenalkan pada tahun 1970-an tetapi ditingkatkan dalam era 1980-an ketika ancaman daripada Tentera Republikan Ireland meningkat. – Reuters/Agensi