Akhbar Daily Mail melaporkan, hidangan berupa acar kubis digaulkan bersama bawang putih, bawang merah, sos ikan dan rempah ratus itu sudah lama popular dalam kalangan pengguna yang mementingkan penjagaan kesihatan kerana mengandungi probiotik.

Bagaimanapun, penyelidikan menunjukkan sejenis minuman kimchi yang dijual di Korea Selatan membantu melebatkkan rambut sedia ada dan menggalakkan pertumbuhan rambut baharu dalam masa beberapa minggu.

Pasukan saintis dari Universtiti Dankook dekat Seoul mengkaji seramai 23 lelaki dengan sebilangan mereka mengalami peringkat awal kehilangan rambut manakala sebahagian yang lain hampir botak.

Semua responden tersebut diminta mengambil minuman kimchi sebelum sarapan dan sebelum tidur.

Selepas tempoh sebulan, purata bilangan rambut mereka meningkat daripada kira-kira 85 helai untuk setiap 1 sentimeter persegi kepada 90 helai dan bertambah kepada 92 helai selepas empat bulan meminum minuman tersebut,

Saintis-saintis itu berkata, ia merupakan peningkatan yang signifikan sekali gus dapat membendung masalah keguguran rambut yang dialami kebanyakan responden berkenaan.

Penemuan tersebut disiarkan dalam penerbitan, World Journal of Men’s Health baru-baru ini.

“Ubat-ubatan sedia ada boleh mendatangkan kesan sampingan. Justeru, penggunaannya adalah untuk sementara sahaja.

“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa kimchi menggalakkan pertumbuhan rambut dan merawat masalah botak. Ia adalah rawatan lebih selamat kepada pesakit,” kata mereka. – Agensi