Sutopo, 49, Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Guangzhou, China, pukul 2.00 pagi ini.

Menurut jurucakap BNPB, Teguh Harjito, jenazah Sutopo dijadual dibawa pulang dan tiba di Jakarta pukul 8.30 malam ini dan dikebumikan di Bayolali, esok.

Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Indonesia, Asro Kamal Rokan turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Sutopo, yang mesra media dan sering berkongsi maklumat, gambar dan video berkaitan bencana di Indonesia kepada media, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), didiagnosis menghidap kanser paru-paru pada Februari 2018 dan mendapatkan rawatan intensif di China sejak Jun lepas.

"Pak Sutopo dikenal dekat dengan semua wartawan termasuk wartawan Malaysia. Pak Sutopo terbuka atas informasi soal bencana, mudah dihubungi, meski pada saat kesihatannya tidak begitu baik.

"Pak Sutopo ikhlas dalam melaksanakan tugasnya. Ini menjadi contoh kepada kita semua, bahwa bekerja harus dengan hati yang ikhlas," kata Asro. - Bernama