Namun, bagi M. D. Hashim (gambar kecil) dan orang lain sepertinya yang tinggal serba daif di Bangladesh, bulan suci Islam itu mengembalikan ingatan sedih terhadap segala yang mereka hilang selepas diusir dari Myanmar.

“Di sini kami tidak mampu membeli hadiah atau menikmati makanan sedap kerana ini bukan negara kami,” kata Hashim kepada agensi berita AFP di daerah Cox’s Bazar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) me­nganggap kempen ketenteraan terhadap etnik minoriti Rohingya menya­mai penghapusan etnik, selepas beribu-ribu orang Islam berkenaan dipercayai dibunuh dalam operasi tentera Myanmar yang bermula pada Ogos tahun lalu.

Hampir 700,000 orang Rohingya melarikan diri daripada keganasan di tanah air mereka di Negeri Rakhine dan berlindung di Bangladesh. Mereka membina pondok daripada buluh dan kain tarpaulin di lereng-lereng bukit di kem-kem pelarian dekat sempadan Bangladesh-Myanmar.

Walaupun sedar bahawa mereka bernasib baik ke­rana dapat menyelamatkan diri, namun kekura­ngan makanan dan wang serta suhu yang semakin panas menyebabkan ramai pelarian Rohingya cemas untuk menyambut Ramadan.

Hashim yang duduk di dalam khemah plastik ketika panas terik berkata, Ramadan merupakan bulan paling meriah di kampungnya.

“Pada setiap malam, keluarga dan rakan taulan akan berbuka puasa bersama dengan hidangan ikan serta daging dimasak setahun sekali hanya pada bulan suci Islam itu.

“Kami tidak boleh me­lakukan perkara sama di sini kerana kami tiada wang. Kami tidak dapat mencari wang kerana kami tidak dibenarkan,” katanya.

Pelarian Rohingya dilarang daripada bekerja, manakala lebih 24 pos kawalan tentera didirikan bagi menghalang mereka keluar dari kem pelarian terbesar di dunia di Cox’s Bazar itu.

Mereka bergantung ke­pada derma untuk semua barangan keperluan termasuk makanan, ubat, pakaian dan peralatan rumah. – AFP