Dinamakan Yutu-2, kenderaan penjelajahan itu mendarat di zon gelap Bulan pada Januari 2019 dan menemui bahan aneh tersebut bulan lalu. Bagaimanapun, berita mengenainya baru sahaja didedahkan kepada umum.

Kenderaan Yutu-2 yang merupakan sebahagian daripada misi kapal angkasa lepas, Chang’e-4, membuat penemuan itu di sebuah kawah sebelum ia mematikan kuasanya untuk ‘berehat.’

Seorang anggota pasukan misi tersebut yang memantau kamera utama Yutu-2 melihat kawah kecil itu yang mengandungi warna berbeza daripada kawasan lain di permukaan Bulan, lapor laman berita Space.com.

Saintis-saintis misi angkasa lepas China memberitahu, bahan aneh itu ‘menyerupai gel’ dan mempunyai ‘warna yang ganjil.’

Beberapa penyelidik lain berkata, bahan ganjil tersebut mungkin kaca cair dan berasal daripada meteorit yang melanggar permukaan Bulan.

Kawasan gelap Bulan adalah zon yang tidak dapat dilihat dari Bumi.

Kenderaan Yutu-2 dijana kuasa solar dan tidak beroperasi pada waktu malam di Bulan. Suhu pada malam hari di Bulan adalah sekitar -180 darjah Celsius manakala suhu pada siang hari adalah amat tinggi. – Agensi