Trump mengugut untuk memotong bantuan kewangan terhadap mana-mana negara yang mengundi menyokong resolusi tersebut.

Sejumlah 128 negara menyokong resolusi PPB kelmarin, sembilan undi menentang dan 35 lagi berkecuali, manakala 21 negara tidak hadir.

Antara negara yang memilih untuk berkecuali ialah Argentina, Australia, Kanada, Colombia, Republik Czech, Hungary, Mexico, Filipina, Poland, Rwanda, Sudan Selatan dan Uganda.

Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Palau dan Togo pula menyertai AS dan Israel untuk menentang usul tersebut.

Ugutan Trump agak berkesan apabila lebih banyak negara memilih untuk berkecuali ataupun menentang usul itu berbanding undian yang membabitkan resolusi berkaitan Palestin sebelum ini.

Biarpun begitu, Washington mendapati ia semakin terpinggir apabila sekutunya di dunia Arab dan Barat turut mengundi menyokong usul berkenaan.

Sesetengah sekutunya seperti Mesir, Jordan dan Iraq yang menyokong usul itu merupakan antara penerima bantuan ekonomi dan ketenteraan terbesar AS.

Seorang jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang disokong Barat menyifatkan undian itu sebagai ‘kemenangan kepada Palestin’. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu seperti jangkaan, menentang undi tersebut.

Pada awal bulan ini, Trump mengubah dasar AS selama beberapa dekad dengan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaan Washington ke kota suci itu.

“AS akan mengingati hari ini (kelmarin) ketika ia menjadi sasaran serangan pada Perhimpunan Agung PBB kerana mempertahankan hak kami sebagai sebuah negara berdaulat,” kata Duta AS ke PBB, Nikki Haley kepada 193 negara anggota badan dunia itu menjelang sesi pengundian kelmarin.

Netanyahu pula menggambarkan resolusi itu sebagai ‘tidak munasabah’.

“Baitulmuqaddis ialah ibu kota kami dan sentiasa akan kekal begitu,” katanya dalam satu rakaman video di Facebook.

Israel merampas Baitulmuqaddis Timur dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 tetapi rakyat Palestin mahukan kota suci itu sebagai ibu negara Palestin merdeka pada masa hadapan.

Sesi pengundian pada Perhimpunan Agung dilakukan susulan permintaan negara-negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam selepas AS menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi serupa semasa sidang tergempar 15 anggota Majlis Keselamatan PBB pada Isnin lalu. – Reuters