Tofa dan Tahura, kembar perempuan berusia dua tahun yang bercantum pada bahagian tulang belakang dan dubur, menjalani pembedahan selama sembilan jam pada Ogos 2017 oleh sepasukan 24 doktor.

“Mereka dibenarkan keluar dari hospital lewat petang kelmarin selepas kea­daan kesihatan kedua-duanya bertambah baik,” kata pakar bedah pediatrik, Shahnoor Islam yang mengetuai pembedahan bersejarah itu kepada AFP.

“Kedua-duanya sudah boleh berjalan dan bermain seperti bayi normal lain. Mereka kini dalam perjalanan pulang tetapi kami akan terus memantau dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Dilahirkan dalam keluarga petani miskin, kembar Siam itu dibawa 260 kilometer ke Dhaka dari daerah Gaibandha. Ibu mereka, Shahida Begum memberitahu AFP betapa gembiranya dia de­ngan perkembangan itu.

Ibu bapa kembar itu hampir berputus asa selepas doktor tempatan memaklumkan kepada mereka tiada pakar di negara ini mampu melakukan pembedahan tersebut sementara kos rawatan di negara lain adalah terlalu mahal.

Shahida sebelum ini bernazar akan menghantar kedua-dua anaknya itu ke sekolah agama jika mereka membesar dengan sihat.

“Saya tidak pernah bersekolah kerana berkahwin awal tetapi saya mahu mereka mempelajari ilmu agama dan menjadi manusia berguna,” katanya. – AFP

KEADAAN bayi kembar Siam, Tofa dan Tahura selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Dhaka pada Ogos tahun lalu.