Walaupun negara itu kerap berdepan kemarau dan penduduknya pula cekal, musim kemarau yang melanda kawasan luas di timur Australia kali ini adalah terburuk dalam tempoh lebih 50 tahun.

Sedikit hujan turun awal minggu ini tetapi gagal mengubah keadaan kering sepanjang tahun yang menukar kawasan padang rumput menjadi kontang dan memusnahkan tanah pertanian.

Tanpa padang ragut, penternak dan petani terpaksa mengimport bijirin dari bahagian lain di negara itu untuk memastikan biri-biri dan lembu mereka dapat terus hidup, kos tambahan berjumlah beribu-ribu dolar seminggu.

Keadaan yang semakin buruk juga memaksa sesetengah petani me­nembak haiwan ternakan mereka.

“Mereka berbuat demikian kerana tidak mahu haiwan ternakan mende­rita. Mereka juga tidak mampu lagi memberikan makanan kepada haiwan ternakan itu,” kata pe­ngasas bersama sebuah yayasan kemarau, Tash Johnston.

Golongan petani terpaksa mencatu air untuk keluarga dan haiwan ternakan mereka kerana banyak empangan telah sama ada kering atau hampir kering.

Ramai antara mereka turut berdepan prospek terpaksa berpindah walaupun sudah mendiami kawasan berkenaan selama beberapa generasi.

Senario itu berlaku di serata New South Wales di mana sektor pertanian menyumbang AS$11 bi­lion (RM44.82 bilion) kepada negeri berkenaan setiap tahun dan menggaji lebih 77,000 pekerja.

Kelmarin, pihak berkuasa mengisytiharkan seluruh negeri itu dilanda kemarau, manakala situasi serupa berlaku di negeri Queensland. – AFP