Penghantaran pulang itu dibuat di sebalik amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa keadaan di Ne­geri Rakhine belum selamat.

Menurut kenyataan di laman Facebook kerajaan Myanmar, keluarga pelarian Rohingya itu adalah yang pertama pulang ke tanah air mereka.

“Lima sekeluarga itu pulang ke kem penghantaran semula di bandar Taipingolemy, Negeri Rakhine pada awal pagi ini (kelmarin),” kata kenyataan itu yang disiarkan di laman Facebook rasmi Jawatankuasa Maklumat Myanmar.

Menurutnya, keluarga ber­kenaan diklasifikasikan sebagai ‘Muslim’ se­­la­ras dengan dasar kerajaan untuk tidak menggunakan perkataan Rohingya. Pihak berkuasa Myanmar enggan mengiktiraf penduduk Rohingya sebagai etnik minoriti di negara itu.

Pihak berkuasa telah memeriksa sama ada mereka pernah menetap di Rakhine dan memberikan Kad Pengesahan Kebangsaan kepada ke­luarga tersebut. Kad itu berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri tanpa pengiktirafan kewarganegaraan. Kad itu ditolak oleh pemimpin Rohingya yang mahukan hak ke­rakyatan sepenuhnya.

Gambar yang dimuat naik bersama kenyataan itu memaparkan seorang lelaki dan dua wanita bersama seorang budak perempuan serta lelaki mene­rima kad pengenalan berkenaan selain turut menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, keluarga berkenaan telah dihantar untuk menetap de­ngan saudara-mara mereka untuk sementara waktu di bandar Maungdaw. Kenyataan sama tidak menyebut sebarang perancangan untuk menghantar pulang pelarian sete­rus­nya dalam masa terdekat.

Etnik minoriti beragama Islam itu terpaksa bersesak di kem-kem pelarian di Bangladesh sejak tentera Myanmar melancarkan operasi tentera di utara negeri Rakhine pada Ogos tahun lalu.

PBB menyifatkan kempen tentera itu sebagai penghapusan etnik tetapi dinafikan oleh Myan­mar. Nay­pyidaw sebalik­nya memberi alasan bahawa tentera dihantar untuk memburu militan Rohingya.

Bangladesh dan Myanmar berjanji memulakan proses penghantaran pulang pela­rian Rohingya pada Ja­nuari lalu tetapi rancangan itu tergendala selepas kedua-dua belah pihak saling menuduh pihak satu lagi tidak melakukan persiapan yang lengkap. – AFP