Dalam pendedahannya kelmarin, majalah Forbes menyalahkan kesukaran pasaran hartanah New York, saman ganti rugi dan kos kempen pilihan raya Pre­siden yang mahal sebagai punca kemerosotan tersebut.

Trump terpaksa membayar pampasan AS$25 juta (RM97.5 juta) untuk menyelesaikan dakwaan bahawa Universiti Trump menipu pelajar dengan menawarkan kursus hartanah.

Selain itu, padang golf Pre­siden AS itu di Scotland turut mencatat kerugian, memaksa beliau menyuntik dana bagi meneruskan operasinya.

Kelab golf Trump Turnberry di Ayrshire, Scotland, rugi AS$24 juta (RM93.6 juta) dalam tahun 2016, dua kali ganda lebih besar berbanding tahun sebelumnya.

Kelab golf itu yang merupakan pelaburan terbesar Trump di luar AS, kini berhutang de­ngannya sebanyak AS$156 juta (RM608.8 juta), hampir dua kali ganda berbanding AS$88 juta (RM343.4 juta) pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan senarai Forbes itu, Trump kini orang ke-766 terkaya dunia, merosot daripada kedudukan 544 berbanding tahun sebe­lumnya.

Sementara itu, pengasas laman jualan Amazon, Jeff Bezos dinamakan lelaki terkaya dunia dengan harta bernilai AS$112 bi­lion (RM437 bilion).

Bezos menggantikan Bill Gates di kedudukan teratas orang terkaya dunia. Pengasas Microsoft itu jatuh ke tangga kedua dengan anggaran kekayaan AS$90 bilion (RM351.2 bilion).

Harta Bezos meningkat AS$39.2 bilion (RM437.1 bilion) tahun lalu, kenaikan tertinggi pernah direkodkan dalam masa setahun.

Sebahagian besar kekayaan beliau melibatkan pegangan saham dalam Amazon. Saham syarikat itu naik hampir dua kali ganda daripada AS$846 (RM3,301) sesaham pada Mac tahun lalu kepada AS$1,523 (RM5,944)sesaham pada 5 Mac lalu. – Agensi