Dikenali sebagai Mendocino Complex, kedua-dua kebakaran hutan itu memusnahkan kawasan seluas 283,8000 hektar, menya­mai keluasan bandar raya Los Angeles, manakala cuma 30 peratus api dapat dipadamkan, demikian menurut agensi kebakaran California (CalFire).

Dua orang terbunuh dalam bencana itu.

Jauh ke utara California, api yang dikenali sebagai Kebakaran Carr telah memusnahkan tanah seluas 164,400 ekar sejak 23 Julai lalu dan meragut tujuh lagi nyawa.

Kebakaran itu juga memusnahkan 1,600 bangunan termasuk 1,000 buah kediaman, kata beberapa pegawai tempatan.

Menurut mereka, lebih 14,000 anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkan api yang marak di serata California.

“Kebakaran-kebakaran hutan ini merebak amat pantas, amat agresif dan sangat berbahaya,” kata seorang timbalan ketua Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, Scott Mclean.

Sementara itu, Presiden Donald Trump mengundang kontroversi apabila menyatakan di laman Twitter bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai air yang cukup untuk mengawal kebakaran hutan itu.

Trump juga menyalahkan kelemahan undang-undang alam sekitar dan bukannya perubahan iklim global sebagai punca kebakaran hutan merebak. – AFP