Kebakaran yang bermula sekitar tengah malam di pulau percutian Indonesia itu memusnahkan 40 buah bot tempatan, namun tiada kecederaan dilaporkan, kata polis.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa berlaku,” kata jurucakap polis Bali, Hengky Widjaja kepada agensi berita AFP.

Imej dari pelabuhan Benoa yang terletak dekat pusat pelancongan popular, Kuta menunjukkan api marak dan kepulan asap hitam naik ke udara.

Seorang kru bot dikenali sebagai Supriyanto berkata, dia sedang tidur apabila terjaga dan melihat bahagian atas botnya terbakar sebelum api merebak dan membakar bot berhampiran.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada kerosakan elektrik, namun puncanya masih disiasat. Kemalangan tidak disengajakan kerap berlaku di Indonesia ekoran peraturan keselamatan kebakaran selalu diabaikan. – AFP