Seorang kakitangan pasar raya menemui amfibia kecil itu ketika membuka bungkusan pisang yang baru dihantar oleh pihak pembekal. Dia menamakan katak itu sebagai Lloyd.

“Katak kecil ini melalui pengembaraan jauh dari Costa Rica dalam sebuah kotak pisang segar ke Lidl di Netherfield,” tulis Persatuan Diraja Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) bandar Nottingham di Twitter.

“Katak pokok tropika itu sedang dijaga seorang pakar veterinar yang mempunyai minat mendalam dengan haiwan eksotik,” tambah kenyataan itu.

Terdapat kira-kira 800 spesies katak pokok di seluruh dunia dengan lebih 600 spesies tinggal di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah. - Agensi