Berjuta-juta penduduk di Lembah Kashmir, salah satu zon yang ditenterakan di dunia, hidup di sebalik langsir maya.

Mereka dikatakan tidak memiliki akses internet, mengirim surat atau membuat panggilan menggunakan talian tetap. Wilayah paling bergolak di bawah India itu telah lenyap daripada peta dunia moden.

“Tiada talian telefon, internet atau jalur lebar yang berfungsi. Ada penutupan maya. Tiada sambungan talian komunikasi. Pejabat saya juga tidak berfungsi dan saya tidak dapat berhubung dengan mana-mana anggota biro di Srinagar,” kata Pengarang Eksekutif akhbar Kashmir Times, Anuradha Bhasin.

Satu langkah yang tidak dijangka oleh kerajaan India pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi bertindak menyekat ke­seluruhan wilayah Jammu dan Kashmir pada waktu tengah malam pada 5 Ogos lalu.

Penduduk Kashmir yang menetap di luar kawasan berkenaan juga gagal menghubungi rakan-rakan atau ahli keluarga mereka.

Langkah itu disusuli dengan keputusan kerahan beribu-ribu anggota tentera India ke lembah berkenaan, mendirikan kawasan pemeriksaan setiap satu pada jarak beberapa ratus meter dan memasang kawat besi pada setiap penjuru bandar untuk menghalang pergerakan kenderaan.

Perintah berkurung yang dikenakan memaksa penduduk tinggal dalam rumah dan keluar hanya untuk membeli ubat-ubatan atau barangan keperluan asas.

Pihak berkuasa India berulang kali menyatakan keputusan pengepungan itu akan ditarik balik secara berperingkat-pe­ringkat dalam tempoh beberapa hari akan datang, namun tidak memberitahu tempoh tepat. Ini menyebabkan penduduk di seluruh wilayah itu hidup dalam keadaan keliru khasnya di pedalaman.

Kurang 12 jam selepas langkah pengepungan, Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah mengumumkan di Parlimen bahawa kerajaan New Delhi membatalkan artikel Perlembagaan mengenai sta­tus khas Jammu dan Kashmir.

Artikel 370 membenarkan negeri separa autonomi itu, termasuk satu perlembagaan negeri berasingan, memiliki bendera sendiri dan kawalan urusan dalaman kecuali beberapa dasar termasuk hal ehwal asing dan pertahanan.

Kebanyakan akhbar gagal membuat laporan atau menyiarkan maklumat ke seluruh wilayah itu, khasnya di luar bandar.

Sementara itu, polis India memberitahu agensi berita AFP bahawa seba­nyak 17 daripada 100 ibu sawat telefon sudah dipulihkan semalam di Lembah Kashmir, selepas hampir dua minggu kawasan itu diputuskan komunikasi dengan dunia luar.

Ketua Polis di Jammu dan Kashmir, Dilbag Singh berkata, internet bergerak sudah dipulihkan di lima kawasan di wilayah Jammu.

“Kami membuka sehingga 17 talian ibu sawat te­lefon. Talian jalur darat sudah dibuka di sesete­ngah kawasan di setiap daerah di Kashmir,” katanya.

Bagaimanapun, lebih 20 penduduk di bandar utama Kashmir, Srinagar, semalam memberitahu AFP bahawa talian jalur darat masih belum dipulihkan.

Ketua Setiausaha Nege­ri, BVR Subrahmanyam kelmarin menyatakan ke­rajaan akan memulihkan talian telefon secara berkala pada hujung ming­gu.

Tambahnya, walaupun talian telefon akan disambungkan, perlu diingatkan bahawa akan wujudnya ancaman berterusan oleh organisasi pengganas yang menggunakan keter­sambungan bergerak untuk merancang keganasan.

Pejabat kerajaan dibuka kelmarin dan sesi persekolahan dijadualkan ber­­sambung mengikut ka­wasan bermula esok, katanya. – Agensi/ AFP