Sistem Identifikasi Automatik (AIS) Seabed Constructor dilaporkan tidak berfungsi pada 31 Januari lalu iaitu hari ke-10 kapal ber­kenaan dalam pencariannya.

Ia hanya aktif semula 80 jam kemudian. Kejadian itu menimbulkan tanda tanya dan mencetuskan spekulasi.

Seorang pengguna internet membuat andaian kapal itu telah menemui pesawat MH370 tetapi menutup sistem AIS untuk merahsiakan lokasinya sehingga aspek pembayaran dimuktamadkan.

Seorang pengguna lain menyatakan bahawa kapal itu gagal menemui pesawat Boeing 777 tersebut dan melencong ke arah lokasi bangkai yang dipercayai SV Inca, kapal pengangkut yang hilang semasa belayar ke Sydney lebih 100 tahun lalu.

Pesawat milik syarikat pe­nerbangan Malaysia Airlines itu hilang bersama 239 orang semasa dalam penerbangan menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kapal pencarian Seabed Constructor milik Ocean Infinity dari Texas, Amerika Syarikat telah diupah oleh kerajaan Malaysia berdasarkan konsep ‘tiada bayaran tanpa penemuan’.

Kapal itu belayar dari pelabuhan Durban di Afrika Selatan, pada 2 Januari lalu dan tiba di lokasi pencarian di Lautan Hindi, luar perairan Australia lebih dua minggu kemudian. – Agensi