Agensi berita Jordan Petra, melaporkan Kanada masih tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Pendirian Kanada sejak sekian lama, ialah status Baitulmaqdis hanya boleh diselesaikan sebagai sebahagian daripada penyelesaian umum dalam pertikaian antara Palestin-Israel.

"Kami amat komited terhadap matlamat keamanan komprehensif, adil dan berkekalan di Timur Tengah, termasuk mewujudkan negara Palestin yang aman damai bersama dengan Israel," kata Setiausaha Kementerian Luar Kanada, Adam Austen dalam satu kenyataan pada Selasa.

Akhbar Kanada, Globe and Mail melaporkan, kerajaan Kanada menegaskan pihaknya tidak akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis, meskipun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhasrat untuk memindahkan kedutaan negara itu ke Baitulmaqdis selain mengiktiraf ia sebagai ibu negara Israel. 

Masyarakat antarabangsa, termasuk Kanada, tidak mengiktiraf pencerobohan Israel ke atas Baitulmaqdis yang diduduki Israel pada 1967. - Bernama