Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Varnavadi, 67, di­umumkan sebagai calon parti Thai Raksa Chart, serpihan parti Parti Pheu Thai yang mendapat sokongan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra untuk bertanding sebagai calon utama jawatan perdana menteri.

“Lembaga bersetuju untuk menamakan Puteri Ubolratana, seorang yang berpelajaran dan berpengalaman sebagai pilihan terbaik,” menurut ketua parti Thai Raksa Chart, Preechapol Pongpanich kepada pemberita.

Pengumuman luar jangkaan itu bakal menyaksikan Ubolratana memecahkan tradisi Thailand kerana kerabat diraja tidak mengambil bahagian dalam politik. Thailand mengamalkan monarki perlembagaan sejak 1932.

Ubolratana akan bertanding menentang calon parti tentera, Pra­yut Chan-O-Cha yang juga merupakan ketua junta.

Prayut mengetuai kerajaan junta hampir lima tahun, menulis semula perlembagaan baharu sebagai satu percubaan untuk menyusun semula keseluruhan sistem politik Thailand, mahu memastikan tentera memegang kuasa selepas 24 Mac ini.

Ubolratana yang lahir pada tahun 1951 adalah anak sulung kepada pemerintah monarki tertua dunia, Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej yang mang­kat ketika berumur 88 tahun pada 13 Oktober 2016.

Beliau pernah melepaskan gelaran diraja selepas berkahwin dengan seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) pada 1972 dan berpindah ke negara berkenaan. Selepas berpisah, Ubolratana pulang ke Thailand.

Dalam perkembangan sama, ketua parti People’s Reform, Paiboon Nititawan mengemukakan satu surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan status pencalonan Ubolratana.

Katanya, pencalonan itu boleh melanggar undang-undang yang menghalang parti politik menggunakan monarki sewaktu berkempen. – AFP/Agensi

Gambar fail bertarikh 24 Mac 2010 menunjukkan Puteri Ubolratana melawat Ekspo Hiburan Hong Kong di Hong Kong.

Seorang pegawai parti Thai Raksa Chart menunjukkan borang pencalonan berserta gambar Puteri Ubolratana di Bangkok, Thailand semalam.