Jong-un dilapor berkata demikian semasa menemui pegawai kanan kerajaan Korea Selatan yang melakukan kunjungan pertama ke negara komunis itu.

Sebanyak 10 anggota delegasi Korea Selatan diketuai Ketua Pejabat Keselamatan Nasional, Chung Eui-yong tiba di Pyongyang kelmarin dengan harapan dapat membuka ruang Korea Utara dan Amerika Syarikat berbincang antara satu sama lain.

“Mendengar niat Presiden Moon Jae-in untuk sidang kemuncak daripada utusan khas Korea Selatan, (Kim Jong-un) bertukar pandangan dan mencapai perjanjian yang memuaskan,” kata KCNA mengenai pertemuan itu.

KCNA tidak mendedahkan butiran perjanjian itu tetapi seorang pegawai daripada kediaman rasmi Presiden Korea Selatan, Blue House di Seoul mengatakan sebahagiannya mengenai tawaran sidang kemuncak yang dibuat oleh Pyongyang.

Delegasi Seoul bertemu Jong-un bersama isterinya serta adiknya, Kim Yo-jong bersama beberapa lagi pegawai kelmarin, kata Kim Eui-kyeom, jurucakap pejabat Presiden Korea Selatan.

Bulan lalu, Yo-jong menghadiri upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan.

Delegasi itu mengakhiri lawatan selama dua hari ke Pyongyang itu lewat semalam selepas satu lagi pertemuan dengan beberapa pegawai Korea Utara, kata Eui-kyeom.

Eui-yong sebelum berlepas ke Pyongyang kelmarin berkata, pasukannya akan menyampaikan hasrat Presiden Korea Selatan untuk melaksanakan perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea dan mengekalkan keamanan.

Washington dan Pyongyang telah bertelagah selama beberapa bulan mengenai program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara. – Reuters