“Beliau (Jong-un) juga menyatakan niatnya untuk menamatkan sejarah perang dan konfrontasi melalui kejayaan Sidang Kemuncak Korea Utara-Amerika dan untuk bekerjasama demi keamanan dan kemakmuran,” kata Jae-in kepada pemberita, sambil menambah dia dan Jong-un sepakat untuk bertemu atau bercakap secara langsung ‘jika perlu’.

Jae-in dan Jong-un telah me­ngadakan sidang kemuncak mengejut di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara itu kelmarin dalam cubaan menyelamatkan sidang kemuncak pada 12 Jun yang dijadualkan antara Korea Utara dan AS di Singapura.

Trump mengejutkan rantau itu pada Khamis lalu dengan membatalkan pertemuannya dengan Jong-un, sambil memetik ‘permusuhan terbuka’ Pyongyang.

Namun, dalam masa 24 jam beliau mengeluarkan kenyataan lain, de­ngan menyatakan sidang kemuncak itu masih boleh diteruskan selepas mengadakan perbincangan yang produktif dengan pihak berkuasa Korea Utara.

Semasa pertemuan selama dua jam dengan Jong-un, Jae-in berkata, beliau berharap Washington dan Pyongyang membuang salah faham melalui komunikasi langsung dan mengadakan dialog yang mencukupi terlebih dahulu sebelum sidang kemuncak.

Jae-in berkata, rejim Pyongyang mengesahkan komitmen untuk melucutkan senjata nuklear tetapi mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan sendiri jika mengambil langkah itu.

“Jong-un menegaskan sekali lagi bahawa dia mempunyai keazaman teguh terhadap penghapusan senjata nuklear yang lengkap.

“Perkara yang beliau tidak pasti bukan penghapusan senjata nuklear, sebaliknya kebimbangan sama ada dia boleh mempercayai bahawa AS akan menamatkan dasar bermusuhan dan menjamin keamanan rejimnya,” kata Presiden Korea Selatan itu. – AFP