Berdasarkan pengiraan undi KPU setakat 10.30 pagi semalam, pasa­ngan Joko Wi­dodo (Jokowi) dan Ma’aruf Amin mendahului Prabowo Subianto-Sandiaga Uno.

Presiden Jokowi, 57, dan pasangannya untuk naib presiden, Ma’aruf, 76, mendahului dengan 54.89 peratus, hasil daripada 37,787 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.

Berdasarkan keputusan kiraan cepat oleh 40 badan-badan bebas dan penduga undi yang berdaftar dengan KPU, Jokowi-Ma’aruf menang dengan peratusan 54 hingga 56 peratus.

Pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 dan 46 peratus. Bagaimanapun, Prabowo, 67, menolak keputusan itu, sebaliknya mengisytiharkan kemenangan sendiri mengikut kiraan cepat oleh pihak­nya.

Pemerhati dan peng­analisis politik melihat Prabowo tidak konsisten dengan sikap dan pene­rimaan terhadap keputusan kiraan cepat.

“Prabowo menerima hasil kiraan cepat (Pilihan Raya Gabenor Jakarta 2017) dan kami juga me­nerimanya,” kata jurucakap Pasukan Kempen Nasional Jokowi-Ma’aruf, Arya Sinulingga.

Penganalisis politik pula melihat tindakan Prabowo melakukan sujud syukur selepas mengisytiharkan kemenangannya seperti mengulangi tindakan pada 2014, iaitu mengisytiharkan kemenangan sebelum pengumuman KPU.

“Percaya tak lembaga (penduga undi) survei itu? Pembohong! Rakyat tidak percaya sama kalian, mungkin kalian boleh pindah ke Antartika, bisa (boleh) berbohong kepada penguin,” Prabowo dipetik berkata ketika berucap kepada penyokong di kediamannya di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Jokowi pula mengambil pendekatan lebih tenang dengan tidak mahu me­rayakan keputusan kiraan cepat dan meminta rakyat­ Indonesia menunggu keputusan rasmi KPU. – Bernama