“Saudara-saudara saya di Papua dan Papua Barat, saya tahu anda rasa terhina. Tidak mengapa untuk beremosi tetapi adalah lebih baik untuk memaafkan. Sabar itu lebih elok,” katanya.

Kenyataan Jokowi menyusul selepas beribu-ribu penduduk turun ke jalan raya di pusat pentadbiran wilayah Papua Barat, Manokwari pada Isnin lalu dan membakar bangunan dewan undangan negeri wilayah itu sebagai tanda protes terhadap sikap perkauman dan tangkapan pelajar Papua secara beramai-ramai di bandar Surabaya.

Satu pergerakan pemisah telah membuak sejak berpuluh-puluh tahun lalu di wilayah pa­ling timur Indonesia, Papua dan Papua Barat, dengan anggota keselamatan negara itu sering kali dituduh mencabul hak asasi manusia.

Pada ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada Sabtu lalu, lebih 40 pelajar Papua di Surabaya, Jawa Timur ditahan kerana didakwa merosakkan bendera Indonesia itu di hadapan sebuah asrama, menurut beberapa aktivis Papua.

Sekumpulan perusuh kemudian berkumpul di luar asrama dan didakwa melaungkan kata-kata berbaur perkauman dan slogan anti-Papua malah mengancam menggunakan kekerasan.

Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa memohon maaf berhubung tindakan kumpulan perusuh dan menyatakan mereka ‘tidak mewakili suara rakyat Jawa Timur’.

Semua pelajar itu dibebaskan selepas proses soal siasat, namun tindakan polis menyerbu dan menggunakan gas pemedih mata ke atas mereka ‘sungguh keterlaluan’, kata peguam hak asasi manusia Indonesia, Veronica Koman.

Menteri Penyelaras Sektor Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto berjanji menyiasat kejadian di Surabaya.

Veronica dan beberapa pelajar penunjuk perasaan memberitahu The Guardian Australia bahawa mereka menjangkakan protes akan berterusan. Veronica juga menyatakan kerajaan Indonesia menyekat talian internet di rantau Papua Barat. – Agensi