“Pemerintah menjamin prinsip kemerdekaan media serta kebebasan berpendapat yang dipandu tanggungjawab moral dan kebebasan yang beretika,” katanya ketika berucap pada Hari Pers Nasional (HPN) 2019 di sini.

Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi menyatakan 63 peratus orang awam percaya pada maklumat yang disiarkan media konvensional berbanding media sosial. Data itu diperoleh Jokowi daripada kaji selidik Edelman Trust Barometer Media.

“Media arus perdana lebih dipercayai berbanding media sosial. Pada tahun 2018, kepercayaan terhadap media konvensional ialah 63 peratus berbanding 40 peratus media sosial,” kata Jokowi.

Jokowi bakal mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan presi­den baharu pada 17 April ini yang akan dicabar oleh seorang bekas jeneral Indonesia, Prabowo Su­bianto.

Prabowo merupakan Pengerusi Parti Kebangsaan Gerindra yang kalah tipis kepada Jokowi pada pilihan raya pada tahun 2014. Parti beliau berjaya membentuk pembangkang utama dengan dua parti Islam lain.

Sebelum ini, Jokowi menamakan Ke­tua Majlis Ulama Indonesia, Ma’ruf Amin sebagai calon Naib Presiden yang bakal berdepan saingan daripada Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno untuk jawatan sama. – Bernama/Agensi