Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 81 tahun.

McCain disahkan menghidap glioblastoma, sejenis ketumbuhan otak pada tahun lalu dan telah menjalani rawatan radiasi serta kemoterapi.

“Senator John Sidney McCain III me­ninggal dunia pukul 4.28 petang (waktu tempatan) pada 2018. Isterinya, Cindy dan keluarga mereka berada di sisi beliau,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

“Semasa hayatnya, beliau telah berkhidmat kepada AS selama 60 tahun,” tambah kenya­taan sama.

Walaupun mempunyai ba­nyak perbezaan pendapat dengan ahli-ahli politik lain, integriti pe­mimpin daripada Parti Repu­blikan itu tidak dapat dipertikaikan lagi. Ucapan takziah kepada keluarga mendiang datang daripada segenap lapisan masyarakat termasuk barisan pemimpin ter­tinggi dunia politik AS.

Bekas Presiden, Barack Obama berkata, rakyat AS terhutang budi kepada McCain.

“McCain dan saya berasal daripada ge­nerasi berbeza, datang daripada latar belakang yang berlainan dan kami bertanding di gelanggang tertinggi politik,” kata Obama dalam satu kenyataan.

Senator berkenaan tewas kepada Obama dalam pilihan raya pada 2008.

“Bagaimanapun, kami berkongsi kesetiaan kepada nilai yang tinggi iaitu keunggulan yang diperjuangkan oleh semua rakyat dan imigran di AS daripada generasi ke generasi,” tambahnya.

Bekas Naib Presiden AS, Al Gore yang berkhidmat di bawah Presiden daripada Parti Demokrat, Bill Clinton menyatakan: “Saya sentiasa memuji dan menghormati McCain walaupun kami berbeza parti kerana beliau tidak tunduk kepada tekanan dan berusaha mencari titik persamaan biar betapa sukar sekalipun”.

Presiden Donald Trump yang pernah mempersendakan rekod McCain dalam Perang Vietnam berkata, beliau menghantar ‘ucapan takziah dan penghormatan’.

McCain merupakan pengkritik Trump walaupun mereka daripada parti yang sama, Parti Republikan. Mendiang pernah menggelarkan Presiden AS itu sebagai ‘lurus bendul’, ego dan bersimpati kepada golongan autokrat.

Di kompleks pentadbiran Capitol Hill, McCain merupakan sahabat karib Senator Lindsey Graham dan bekas Senator Joe Lieberman dengan trio ber­kenaan digelar ‘Tiga Sekawan’. – AFP