Berucap pada forum perniagaan menjelang Sidang Kemuncak China-Afrika yang diadakan setiap tiga tahun sekali, Jinping berkata: “Dana untuk kerjasama kita tidak dibelanjakan untuk projek bagi tujuan bermegah tetapi disalurkan ke tempat yang sangat memerlukannya.

“Infrastruktur yang tidak mencukupi ini menjadi halangan terbesar yang membantutkan pembangunan di Afrika,” katanya.

Beberapa pegawai China pula berkata, sidang kemuncak pada tahun ini akan memperkasakan lagi peranan Afrika dalam inisiatif Jalur dan Laluan Jinping.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk menghubungkan China melalui jalan laut dan darat menerusi rangkaian infrastruktur berpandukan Laluan Sutera lama yang merangkumi rantau Asia Tengah, Asia Tenggara, Asia Barat, Eropah serta Afrika.

Beijing menjanjikan dana sebanyak AS$126 bilion (RM520 bilion) untuk projek tersebut yang akan membantu menyediakan lebih banyak sumber dan kemudahan di Afrika bagi meluaskan pasaran bersama.

Perniagaan China di Afrika kata Jinping, perlu mengambil kira tanggungjawab sosial, me­latih pekerja tempatan dan memberi perhatian kepada isu alam sekitar.

Dari tahun 2000 hingga 2016, China memberi pinjaman berjumlah AS$125 bilion (RM503 bilion) kepada benua itu, demikian menurut data daripada Inisiatif Penyelidikan China-Afrika (CARI) di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti John Hopkins, Washington.

Dana Beijing merupakan penyumbang paling utama kepada risiko hutang tinggi yang dihadapi tiga negara Afrika terdiri daripada Republik Congo, Djibouti dan Zambia, kata CARI pada minggu lalu.

China bagaimanapun menafikan menggunakan dasar ‘jerat hutang’ terhadap negara-negara di benua berkenaan.

Bagaimanapun, Jinping menggunakan perhimpunan pemimpin Afrika itu untuk menawarkan pembiayaan pusingan baharu susulan janji Beijing menawarkan pinjaman berjumlah AS$60 bilion (RM247 bilion) pada sidang kemuncak terakhir tiga tahun lalu di Afrika Selatan. – Reuters