Penggodaman terhadap Coincheck merupakan kes terbesar dilaporkan, menyebabkan pihak berkuasa menggeledah pejabat firma tersebut minggu lalu dan mengeluarkan perintah pentadbiran.

Menteri Kewangan, Taro Aso semalam berkata, serbuan-serbuan tersebut kini diperluaskan ke lain-lain agensi pengendali urus niaga mata wang kripto.

“Kami telah memulakan serbuan terhadap beberapa firma mata wang digital,” katanya kepada pemberita sambil menambah serbuan tersebut dilakukan bagi memeriksa struktur pentadbiran dalaman mereka.

Aso yang juga merupakan menteri bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kewa­ngan mengakui kerajaan perlu mening­katkan pemantauan terhadap bursa mata wang maya.

Pegawai-pegawai Jepun men­dakwa Coincheck gagal melaksanakan langkah-langkah keselamatan sehingga mendedahkan syarikat itu kepada penggodaman dan kecurian.

Akibat peningkatan kecurian mata wang kripto, Agensi Perkhid­matan Kewangan negara itu mengarahkan berpuluh-puluh firma yang terbabit menghantar laporan mengenai usaha mereka mengawasi risiko penggodaman.

Penggodam melarikan 523 juta unit mata wang digital NEM daripada Coincheck pada 26 Januari lalu, melebihi AS$480 juta (RM1.8 bilion) mata wang kripto yang dicuri pada tahun 2014 daripada sebuah lagi firma Jepun, MtGox.

Akhbar Yomuiri Shimbun sebelum ini memetik kenya­taan anggota polis yang enggan dikenali berkata, Coincheck sebelum ini dilaporkan beberapa kali diakses secara haram menerusi pelayan di Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda beberapa hari sebelum dicuri. 
– AFP