Agensi Servis Kewangan (FSA) memberitahu dalam satu kenya­taan telah mengarahkan pertukaran mata wang digital FSHO dan Bit Station yang berpangkalan di Yokohama dan Nagoya supaya menghentikan sementara operasi iaitu dalam tempoh sebulan mulai semalam.

FSA mendakwa bahawa FSHO tidak mempunyai sistem yang teratur untuk memantau perdagangan atas talian selain tidak memberi latihan sewajarnya kepada pekerja.

Sementara itu, pekerja Bit Station pula didakwa mengalihkan mata wang digital yang disimpan oleh pelanggan untuk kegunaan peribadi.

Selain itu, pihak berkuasa juga mengarahkan lima bursa lain termasuk Coincheck untuk memperbaiki amalan perniagaan mereka.

Sebelum ini, Coincheck telah disekat oleh pihak berkuasa selepas kejadian digodam.

Penggodaman Coincheck telah mengakibatkan kerugian mata wang kripto NEM berjumlah AS$530 juta (RM2.07 bilion) dan menjadi antara tertinggi pernah dicatatkan. Perkara tersebut sekali gus telah membuatkan pihak berkuasa terpaksa memeriksa pejabat firma itu bulan lepas.

Syarikat tersebut telah berjanji untuk membayar balik kira-kira AS$400 juta (RM1.6 bilion) kepada semua 260,000 orang pelanggan yang telah kehilangan pegangan terhadap nilai NEM yang sebelum ini merupakan salah satu daripada 10 mata wang kripto terbesar dalam pasaran kapital.

Pada Februari lalu, seramai tujuh orang plaintif melibatkan dua buah syarikat dan lima orang perseorangan telah memfailkan saman ganti rugi terhadap Coincheck. - AFP