Cuaca panas dengan suhu 40 darjah Celsius dicatat berlaku di kebanyakan bandar utama di Jepun semalam.

Seramai 12 orang meninggal dunia akibat strok haba dalam tempoh se­minggu hingga 15 Julai lalu iaitu selepas tiga kes kematian minggu sebelumnya, menurut data terkini.

Lebih 9,900 orang terpaksa dibawa ke hospital pada minggu pertengahan Julai ini iaitu peningkatan daripada 2,700 individu minggu sebelumnya, kata Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran.

Tiada petunjuk bahawa fenomena cuaca panas semasa akan menyusut setakat ini.

Agensi berita Kyodo News melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang, khususnya golongan warga emas, meninggal dunia kelmarin, disyaki disebabkan strok haba.

Sejumlah 3,091 ambulans terpaksa beroperasi di seluruh bandar Tokyo pada Sabtu lalu, satu rekod baharu untuk tempoh sehari bagi menangani kes-kes gelombang haba, menurut laporan berkenaan.

Agensi kaji cuaca semalam menyatakan suhu melebihi 35 darjah Celsius dikesan di 233 titik pusat pemerhati di seluruh negara pada waktu tengah hari.

Rekod suhu panas tertinggi iaitu 39.8 darjah Celsius dicatat di pusat bandar Gujo pada waktu tengah hari semalam, manakala beberapa kawasan lain di Tokyo menyaksikan peningkatan suhu hingga 37 darjah Celsius.

Agensi kaji cuaca mengeluarkan a­maran kejadian cuaca panas luar biasa di kebanyakan wilayah utama di tanah besar Jepun.

“Risiko strok haba amat tinggi,” kata agensi berkenaan dan meminta rakyat Jepun meminum air secukupnya selain menggunakan langsir dan pendingin hawa di kediaman masing-masing. 
– AFP

Beberapa keluarga dirakam bermain air dan berenang di sebuah taman tepi pantai di bandar Tokyo semalam.

Gambar yang dirakam pada Rabu lalu menunjukkan sebuah termometer elektronik mencatat suhu setinggi 43 darjah Celsius di sebuah tapak pembinaan Stadium Negara baharu bagi acara Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.