Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera berkata, China meningkatkan aktiviti ketentera­an sejak tahun lalu termasuk me­lancarkan operasi udara baharu di sekitar Jepun dan menempatkan sebuah kapal selam nuklear di kepulauan Pantai Timur.

“China dengan cepat mening­katkan kekuatan dan aktiviti ketenteraan. Beijing secara unilateral meningkatkan aktiviti ten­tera di laut dan ruang udara sekitar negara kita. Ini menjadi kebimbangan utama pertahanan Jepun,” kata Onodera pada mesyuarat tahunan barisan pemimpin tertinggi tentera Jepun.

Beliau membuat kenyataan itu ketika Tokyo berusaha untuk mengurangkan ketegangan diplomatik dengan Beijing, manakala Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dijangka melawat rakan dagangan terbesar Jepun itu pada bulan depan.

Sejak Abe mengambil alih pentadbiran Jepun, beliau membuat tuntutan terhadap gugusan pulau tersebut yang terletak di Laut China Timur sekali gus memburukkan lagi ketegangan dengan China.

Abe, bagaimanapun mengurangkan retorik keras sejak dari itu untuk memujuk Beijing supaya mendesak China Korea Utara melucutkan program nuklear dan peluru berpandunya.

Dalam perkembangan sama, Onodera turut berkata, Rusia juga dilihat semakin meningkatkan aktiviti ketenteraannya.

Moscow merancang untuk mengadakan latihan tentera terbesar selepas era Perang Dingin termasuk membawa masuk senjata pemusnah seperti peluru berpandu ke kepulauan Kuril di selatan Rusia. Kepulauan itu dituntut oleh Jepun.

“Kami melihat terdapat aktivi­ti ketenteraan di rantau Timur Jauh di Rusia,” katanya.

Pada masa sama, Onodera turut mengulangi bahawa Korea Utara dilihat terus memberi ancaman serius kepada Jepun walaupun masyarakat antarabangsa cuba meyakinkan Pyongyang supaya melucutkan senjatanya. – AFP