Putera Turki Al-Faisal berkata, CIA tidak boleh diharap untuk membuat rumusan yang boleh dipercayai.

“CIA bukan standard ter­tinggi kebenaran dan ketepatan dalam menilai sesuatu situasi. Contoh mengenainya adalah banyak,” kata Putera Turki kepada pemberita di Abu Dhabi kelmarin.

Putera berkenaan yang merupakan bekas ketua pe­risikan Arab Saudi dan berkhidmat sebagai duta ke Amerika Syarikat (AS) berkata, hasil siasatan CIA bahawa Iraq memiliki senjata kimia yang mendorong pencerobohan AS pada tahun 2003 terbukti tidak benar.

“Penilaian itu (Iraq) sama sekali salah dan tidak tepat. Ia me­ngakibatkan perang yang menyaksikan beribu-ribu orang terkorban,” katanya.

CIA, dalam siasatannya, merumuskan bahawa Putera Mohammed mengarahkan operasi untuk membunuh Jamal, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Washington Post.

Presiden AS, Donald Trump turut mempertikaikan rumusan agensi perisikan itu berhubung pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, sebuah akhbar Turki turut melaporkan pada Khamis lalu bahawa Pengarah CIA, Gina Haspel memberi isyarat kepada pegawai-pegawai di Ankara bahawa agensi berkenaan memiliki rakaman panggilan telefon menunjukkan bahawa putera mahkota tersebut memberi arahan untuk ‘mendiamkan’ Jamal.

Wartawan itu dibunuh di konsulat Arab Saudi di bandar raya Istanbul pada 2 Oktober lalu. Pihak berkuasa Turki berkata, pembunuhan itu diarahkan oleh kepimpinan tertinggi Arab Saudi.

Selepas berulang kali memberikan penjelasan bercanggah, Riyadh menyatakan bahawa Jamal dibunuh dan tubuhnya dikerat-kerat selepas rundingan bagi memujuknya kembali ke Arab Saudi gagal.

Pendakwa raya Arab Saudi meminta hukuman mati dikenakan terhadap lima suspek yang didakwa berhubung pembunuhan itu tetapi me­negaskan bahawa Putera Mohammed tidak mengetahui tentang operasi tersebut. 
– Reuters