Rang undang-undang itu telah ditangguhkan selama hampir dua tahun kerana Parlimen membantah mengenai perinciannya, termasuk bagaimana untuk mendefinisikan keganasan.

Bagaimanapun, gelombang pengebom bunuh diri yang berlaku bulan ini menimbulkan tekanan kepada penggubal undang-undang untuk segera meluluskannya.

Polis kini akan dibenarkan menahan suspek pengganas selama 21 hari, meningkat berbanding se­minggu sebelum ini. Mereka juga boleh mendakwa individu yang menyertai atau melatih organisasi pengganas sama ada di dalam dan luar negara.

Aktivis hak asasi bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa rang undang-undang itu boleh membuka ruang kepada tindakan keras terhadap mana-mana kumpulan yang dilihat sebagai satu ancaman.

Bulan ini, seramai 13 orang terbunuh dalam serangan bunuh diri berasingan di gereja dan balai polis oleh dua keluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun di bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya.

Keluarga berkenaan mempunyai kaitan dengan rangkaian pelampau tempatan telah berikrar untuk taat pada kumpulan militan Daesh yang mendakwa melakukan serangan tersebut.

Seorang anggota polis turut terbunuh dalam serangan berikutnya di sebuah balai polis di Sumatera, beberapa hari kemudian.

Indonesia yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018 pada Ogos depan dan mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank-Bank Dunia di Bali pada Oktober telah lama dibelenggu serangan militan Islam.

Serangan paling buruk ketika pengeboman di Bali pada 2002 yang menyaksikan lebih 200 orang terbunuh termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing. – AFP