Kontroversi mengenai wanita Korea Selatan yang dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun dikenali menyebabkan hubungan antara dua negara jiran itu tegang sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye pernah memeterai perjanjian dengan Tokyo pada tahun 2015 yang mana Seoul berjanji tidak akan membangkitkan isu itu lagi.

Jepun pula bersetuju membayar ganti rugi sebanyak AS$8.9 juta (RM34.91 juta) yang akan dibayar kepada sebuah yayasan bagi membantu mangsa terbabit.

Perjanjian itu menyaksikan Tokyo mengelak daripada memikul tanggungjawab undang-undang berhubung isu tersebut.

Ia telah mencetuskan kemarahan sebahagian mangsa, manakala Jae-in mengutuk perjanjian de­ngan Tokyo sebagai penyelesaian ‘salah’ dan menggesa Jepun meminta maaf secara ikhlas.

“Isu hamba seks ini tidak boleh diisytiharkan tamat oleh kerajaan Jepun. Jenayah kemanusiaan semasa perang tidak boleh ditutup dengan mengisytiharkan ia telah selesai.

“Cara sebenar untuk menyelesaikan sejarah tragis ini adalah dengan memperingati sejarah dan belajar daripada kesilapan lalu,” kata Jae-in dalam satu ucapan sempena sambutan ulang tahun kebangkitan rakyat Korea menentang penjajahan Jepun pada tahun 1919.

Beberapa ahli sejarah arus perdana berkata, sehingga 200,000 wanita, kebanyakannya dari Korea Selatan di samping China, Indonesia dan beberapa negara Asia lain dipaksa menjadi hamba seks tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Ditanya mengenai ucapan Jae-in, jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, Yoshihide Suga berkata: “Presiden Korea Selatan itu masih membangkitkan isu hamba seks walaupun kami telah mengesahkan mencapai penyelesaian muktamad dalam tahun 2015 melalui perjanjian antara Jepun dan Korea Selatan.” – AFP