Serangan tersebut berlaku berhampiran Damsyik dan di wilayah Homs petang kelmarin mengorbankan beberapa pejuang namun tidak dapat dipastikan bagaimana orang awam maut, sama ada ketika atau selepas serangan, kata Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Katanya, serangan tersebut membedil beberapa kedudukan Iran dekat Damsyik dan menyasarkan sebuah pusat penyelidikan serta lapangan terbang tentera di barat bandar Homs di mana pergerakan Syiah Lebanon, Hezbollah dan tentera Iran dikerahkan.

Salah seorang pejuang prorejim yang terbunuh adalah warga Syria manakala selebihnya dari lain-lain negara, kata ketua badan itu, Rami Abdel Rahman.

Agensi berita Syria, SANA sebelum ini melaporkan, empat orang awam terbunuh selepas pertahanan udara negara itu bertindak balas terhadap serangan Israel.

“Pertahanan udara kita berdepan dengan misil musuh yang dilancarkan daripada pesawat tempur Israel ke arah beberapa kedudukan kami di Homs dan sekitar Damsyik,” lapor SANA dengan memetik sumber ketenteraan Syria.

Jurucakap tentera Israel enggan mengulas laporan tersebut.

Israel melancarkan ratusan serangan udara di Syria sejak bermulanya konflik pada tahun 2011 dengan menyasarkan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad serta sekutunya, Iran dan Hezbollah. - AFP